Pemain Terengganu, Najmi Farizal Jazlan, memberi bayangan bakal kembali ke pangkuan skuad hoki negara selepas meledak satu gol ketika membantu skuad Pantai Timur itu seri 1-1 menentang Perak dalam aksi sulung Divisyen 1, Piala Razak 2018, hari ini.

Najmi kembali ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sejak meninggalkan skuad kebangsaan, Julai lalu, susulan keputusan pertahanan berusia 23 tahun itu mahu fokus kepada pengajian, namun prestasinya di atas padang dilihat tidak banyak terjejas.

Ia dibuktikan dengan jaringan ketika berdepan Perak dalam saingan Piala Razak, petang tadi.

"Seperti biasa, saya perlu melalui beberapa prosedur. Mungkin ia memerlukan masa bagi membolehkan saya kembali berada dalam pasukan jika diberi peluang.

"Saya tetap akan terlibat dalam aksi hoki tetapi cuma dalam saingan seperti kejohanan ini," kata Najmi.

Bagaimanapun, dalam aksi petang tadi, Perak selaku juara bertahan lebih banyak melancarkan serangan sebelum penyerang, Mohd Haziq Shamsul, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28.

Selepas rehat, Terengganu yang turut dibarisi perancang utama kebangsaan, Fitri Saari, bangkit dan berjaya meraih pukulan sudut penalti sebelum peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk Najmi meledak gol penyamaan pada minit ke-40.

Perak meningkatkan serangan demi memburu gol kemenangan, namun kecewa dengan beberapa keputusan pengadil sehingga tamat perlawanan.

"Ini baru aksi pertama, jadi kami akan menilai melalui setiap perlawanan," ujar Haziq.