Pertahanan skuad hoki negara, Mohd Najib Abu Hassan, memerlukan keajaiban untuk menyertai saingan Piala Dunia 2018 apabila ditimpa kecederaan lutut ketika membantu Malaysia meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Oman, hujung minggu lalu.

Najib mengalami kecederaan lutut ketika Malaysia menewaskan Korea Selatan 4-2 di peringkat round robin.

Dia terpaksa menarik diri untuk baki perlawanan sebelum pulang ke tanah air dalam keadaan bertongkat.

Pertahanan berusia 23 tahun itu menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) dengan keputusan imbasan dijangka diperoleh Jumaat ini.

Peluangnya tipis untuk menyertai skuad Piala Dunia tetapi dia yakin keajaiban boleh berlaku.

"Bagi saya, memang yakin tetapi untuk jangka masa panjang, saya harus mengikut perkembangan kaki. Jika tidak teruk, mungkin saya boleh dipilih ke Piala Dunia," kata Najib.

"Mungkin sukar kerana masa singkat. Minggu depan nama sudah dipilih untuk ke Piala Dunia."

Sebelum ini, skuad The Malaysian Hockey Tigers kehilangan khidmat pertahanan, Najmi Farizal Jazlan dan Izad Hakimi Jamaluddin, yang menarik diri.

Skuad negara akan mengadakan tiga aksi persahabatan menentang New Zealand, pertengahan bulan depan dan ia menjadi proses pemilihan terakhir sebelum senarai 18 pemain diumumkan ke Bhubaneswar, India.

"Aksi ini memang penting buat saya sebagai permulaan bersama skuad senior dan meraih pengalaman. Peluang mungkin sukar akibat kecederaan. Apapun, saya harus cuba berjuang untuk pulih," tambah Najib.