Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn, mengakui ketumpulan jentera serangan menyukarkan hasrat negara untuk berada di kedudukan lebih baik sambil sedia menerima kemunculan muka baru sekiranya ia dapat membantu mengatasi kelemahan pasukan kebangsaan.

Ketumpulan jentera serangan membelenggu skuad hoki wanita negara ketika berhadapan dengan pasukan yang memiliki kredibiliti ataupun berada pada kedudukan lebih baik daripada Malaysia.

Situasi itu berlaku dalam saingan kelayakan Piala Dunia di Brussels pada Jun lalu selain pertembungan Malaysia membabitkan empat negara terbaik Asia, iaitu Jepun, China, India dan Korea Selatan.

Nadiah sendiri mengakui kesukaran mereka bukan sekadar mencari jaringan, malah ada ketikanya mereka amat sukar untuk memasuki kawasan lawan atau mendapatkan peluang pukulan sudut penalti sehingga membuatkan Malaysia hilang punca.

"Bagi saya, ia memang sukar kerana kami tidak boleh hanya bertahan dalam setiap perlawanan. Tugas penyerang memang besar, perlu menjaringkan gol dalam mencapai kemenangan, jadi kami memang memerlukan barisan pelapis di posisi itu," ujarnya.

Nadiah juga tidak gusar seandainya ada muka muka baru yang memiliki kredibiliti terus digilap untuk bersama skuad kebangsaan.

Sekurang-kurangnya, masalah utama itu mampu diperbaiki dan situasi bersaing merebut tempat dianggap satu perkembangan baik untuk skuad negara

"Bagi saya, bagus jika jurulatih memanggil barisan pemain baru untuk menyertai skuad kebangsaan. Ia boleh memberikan pendedahan kepada mereka di peringkat senior," tambahnya.