Nabil: Jangan lalai di penghujung perlawanan

Oleh Ammar Hakim 25 Oktober 2016 1
Nabil: Jangan lalai di penghujung perlawanan

Pemain tengah hoki negara, Nabil Fiqri Mohd Noor mengakui masalah tidak konsisten pada hujung permainan masih gagal diselesaikan dan ia merupakan situasi bahaya menjelang aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia menentang India, esok.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, pernah menegur pemain negara yang mula berasa selesa apabila mendahului lawan.

Situasi itu berlaku ketika menentang Pakistan dan Jepun.

Kedua-dua lawan berjaya menjaringkan gol pada hujung permainan ketika pemain negara dilihat seperti sudah berpuas hati dengan keputusan semasa.

Sikap itu perlu dielakkan ketika menentang pilihan utama, India.

“Berdasarkan perlawanan lepas, kami dapat lihat kelalaian di penghujung perlawanan menjadi punca gawang gol Malaysia dibolosi.

"Bertemu pasukan di ranking 10 terbaik dunia, mereka akan menggunakan kelemahan itu untuk menghukum kami, jadi perkara ini tidak harus diulangi dalam perlawanan akan datang,” kata Nabil.

Kemenangan ke atas India akan mengukuhkan peluang Malaysia menjuarai peringkat liga.

Format separuh akhir menyaksikan juara liga akan menentang pasukan tangga keempat sementara naib juara berdepan pasukan tangga ketiga.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen