Pasukan hoki Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melonjak ke tangga teratas Liga Hoki Tertutup Terengganu selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Hazuwani Semut Merah (HSHT-TNB), hari ini.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Semut Merah terlebih dahulu mendahului pada minit ke-25 menerusi jaringan padang Tun Muhammad Alias Tun Mohd Rosidi.

Tersentak dengan gol itu, MPK melancarkan serangan dan beberapa kali menguji barisan pertahanan lawan, namun digagalkan penjaga gol Semut Merah, Mustakim Mohd Shafie.

Gol penyamaan anak buah Yusliza Othman itu hanya hadir pada minit ke-45 menerusi jaringan padang oleh Mohamad Ifzul Hayat Ahmad.

Muhamad Helmi Ali muncul wira MPK dengan gol kemenangan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit sebelum tamat perlawanan, sekaligus meleburkan rekod bersih Semut Merah yang menang empat perlawanan sebelum ini.

Tiga mata diperoleh itu membolehkan mereka memimpin carta liga dengan 13 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Semut Merah, yang masing-masing berkelebihan satu perlawanan.

Perebutan kejuaraan Liga Hoki Tertutup Terengganu akan diteruskan apabila kedua-dua pasukan itu akan membuat perhitungan, petang esok.

Manakala MPK akan melengkapkan perlawanan terakhir mereka menentang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sabtu ini.