Impian untuk melihat skuad hoki lelaki beraksi di pentas Sukan Olimpik terpaksa ditangguhkan sehingga edisi 2024 apabila gagal menempah slot ke edisi 2020 di Tokyo setelah dikecewakan oleh Great Britain dalam kelayakan akhir aksi play-off di London, semalam.

Walaupun barisan pemain dan jurulatih skuad The Malaysian Tigers telah memberikan yang terbaik, ia tidak cukup untuk mengatasi juara tiga kali itu apabila tewas dengan agregat 9-3 dalam perlawanan dua peringkat Sabtu lalu dan semalam.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Olimpik adalah dalam edisi 2000 di Sydney, Australia, dan kini gagal untuk meraih kelayakan ke pentas itu buat kali kelima berturut-turut selepas RM1.7 juta dibelanjakan dalam tempoh setahun ini.

Berikutan itu, persoalan utama yang wujud dalam kalangan peminat sukan hoki, termasuk bekas kapten negara 1998-2002, Datuk Mirnawan Nawawi, ialah sampai bila Malaysia nak gagal?

Mirnawan, yang pernah mewakili Malaysia ke tiga Sukan Olimpik, berkata seluruh sistem dan semua pemegang taruh, termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), ahli gabungan dan sekolah sukan, harus bertanggungjawab di atas kegagalan itu tanpa hanya menuding jari terhadap satu pihak.

“Kami harus akui bahawa Malaysia sudah gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Tak guna kalau kami sedih dan menangis. Kami harus fikir tentang masa depan dengan merancang bagaimana nak layak ke Piala Dunia dan Olimpik seterusnya.

“Semua pihak, termasuk KHM, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), harus berbincang dan merancang bagaimana nak membangunkan hoki.

"Mereka harus merancang mekanisme yang bakal digunakan supaya sukan ini terus diangkat ke tahap seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pihak sekolah sukan juga harus bertanggungjawab kerana khilaf dalam menyalurkan pemain lebih berkualiti dalam pasukan kebangsaan selain meminta Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula keputusan membenarkan pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Apabila SSN dibenarkan beraksi dalam MSSM, sudah pasti mereka akan menang mudah dan ia mematahkan semangat murid dan guru dari sekolah biasa yang mungkin mempunyai bakat yang boleh diketengahkan.

“SSN sepatutnya bermain dalam kejohanan khas untuk mereka, di mana bakat pelajar dan guru (jurulatih) yang menunjukkan prestasi baik dalam MSSM harus digilap,” tambahnya.

Bekas pemain antarabangsa dari 1989 hingga 2002 itu berkata sekolah sukan perlu ada penilaian dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi menentukan kualiti pelajar yang menunjukkan pencapaian perlu dikekalkan kerana ia melibatkan pembiayaan kerajaan.

“Pelajar yang gagal menunjukkan peningkatan perlu diganti dan SSN harus melahirkan produk yang lebih berkualiti."

Ditanya mengenai beberapa pemain senior yang dikatakan berhasrat untuk bersara daripada pentas antarabangsa berikutan kegagalan tersebut, Mirnawan berkata keputusan itu harus diambil oleh pemain sendiri dan tiada pihak yang berhak memaksa mereka.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 itu juga berkata umur bukan menjadi kayu pengukur bagi menentukan masa seseorang pemain untuk bersara tetapi kemampuan beraksi dan semangat juang yang menjadi faktor utama.

Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke Tokyo sebagai juara benua apabila tewas 1-3 kepada Jepun dalam penentuan pukulan penalti dalam final Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Skuad negara tidak dapat menerima kekalahan itu selepas mendahului 5-2 sehingga 10 minit terakhir perlawanan sebelum Jepun bangkit untuk mengikat kedudukan 6-6 dalam masa penuh perlawanan.

Susulan kekecewaan itu, KHM mengambil langkah drastik dengan membawa masuk jurulatih berpengalaman dari Belanda, Roelant Oltmans, yang membantu skuad wanita negara itu merangkul Piala Dunia 1990 serta skuad lelaki merangkul gelaran juara Olimpik 1996 dan Piala Dunia 1998.

KHM juga mendapatkan khidmat pakar seperti Taeke Taekema (pukulan sudut penalti), Michael McCann (penyerang) dan Martin Drijver (penjaga gol) untuk memantapkan skuad negara menjelang aksi kelayakan itu.

Sementara itu, dua pemimpin tertinggi KHM, presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal dan timbalan presiden, Datuk Dr S. Shamala, pernah mengumumkan akan melepaskan jawatan mereka sekiranya Malaysia gagal ke Sukan Olimpik 2020, sebelum membuat pusingan U baru-baru ini.

Persoalannya, wajarkah Subahan dan Shamala kekal menerajui KHM? Biar ahli gabungan yang menentukan pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM, 16 November ini.

-- BERNAMA