Inisiatif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) buat pemain kebangsaan yang bersara untuk beralih ke bidang kejurulatihan dianggap sebagai talian hayat dengan menyumbang bakti kepada arena hoki tempatan.

KHM menerusi presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, menyunting bekas penjaga gol utama, S. Kumar, untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan badan induk itu setelah umumkan persaraan 20 Februari lalu.
Bukan sahaja Kumar, KHM sedia mempertimbangkan untuk menghulurkan tawaran buat mana-mana pemain kebangsaan yang berada di penghujung karier sekiranya berminat menyambung khidmat sebagai jurulatih.

Ia usaha yang bagus dalam memastikan pemain tersebut masih dapat menyumbang bakti buat hoki tempatan, sekaligus bantu melahirkan ramai lagi pelapis muda.

"Saya pasti khidmat bekas-bekas pemain amat diperlukan terutama di peringkat akar umbi sekali gus menjadi usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain-pemain berkualiti," kata bekas kapten skuad negara, Datuk Mirnawan Nawawi ketika ditemubual wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Antara pemain yang pernah menyuarakan hasrat untuk bersara sebelum ini adalah penyerang veteran, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil namun menarik balik keputusan itu sejurus tamat kempen kelayakan Sukan Olimpik di London tahun lalu.

"Ini adalah kesinambungan karier mereka dalam arena hoki dan sekurang-kurangnya KHM harus memikirkan tentang masa depan pemain-pemain ini."