Mirnawan gesa pemain fokus tugasan di atas padang

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2018 86
 Mirnawan gesa pemain fokus tugasan di atas padang
Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, meminta pemain kebangsaan melupakan kegagalan mendapatkan tiket automatik Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana tugas melepasi had kelayakan sudah pun bermula.

Peluang nampaknya tidak berpihak kepada Malaysia.

Rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima reaksi negatif kebanyakan wakil lembaga eksekutif FIH  sebelum pengumuman rasmi dibuat esok.

Justeru, skuad negara perlu fokus terhadap persiapan Piala Dunia dan Siri Hoki Dunia untuk merebut tiket Sukan Olimpik.

"Sebagai pemain, mereka tidak seharusnya memikirkan tentang keputusan rayuan itu. 

"Daripada segi mental, pemain harus bersedia untuk menghadapi Piala Dunia di India dan kelayakan Sukan Olimpik. 

"Itu sahaja yang perlu difikirkan pemain kerana sama ada keputusan rayuan positif atau tidak, sebagai pemain mereka tidak perlu memikirkannya.

"KHM pun sudah meminta pemain agar tidak memikirkan soal itu dan hanya memikirkan soal Piala Dunia," katanya. 

Skuad negara akan menyambung sesi latihan Isnin ini selepas meraih tangga ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Oman.

Kebangkitan pemain muda menyaksikan persaingan makin sengit untuk merebut tempat 18 terbaik ke Piala Dunia, hujung bulan ini, dan ia satu petanda positif menjelang Siri Hoki Dunia, tahun depan.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 2000 di Sydney, Australia.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen