Presiden baru Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, merancang untuk membaik pulih semula kemudahan di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Buat masa ini, beliau sudah memulakan langkah awal dalam menaik taraf pengurusan kemudahan, di mana pelbagai aspek diambil kira dengan misi menyiapkannya dalam masa kurang sebulan.

Megat Shahriman menjanjikan perubahan kepada KLHA selepas menewaskan penyandang presiden, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ke-25.

Berbekalkan kelulusan beberapa pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), perancangan akan datang lebih terarah kepada infrastruktur, sekali gus menjadikan Stadium Hoki Kuala Lumpur sebagai gelanggang ikonik di Lembah Klang.

"Menjelang musim baru, sudah tentu saya mahu pasukan kami bergelar juara. Usaha yang saya lakukan adalah menjanjikan imbuhan tambahan sekiranya mereka menang. Saya percaya kepada jurulatih dan juga kedua-dua skuad lelaki dan wanita di landasan terbaik untuk mencapai kemenangan," katanya.

Sementara itu, Megat Shahriman enggan mengulas lanjut berhubung kemelut pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sambil menyerahkan segala keputusan kepada PJS, Profesor Madya Dr. Wirdati Mohd Radzi.

"Saya rasa kehadiran Dr. Wirdati akan menyempurnakan tugas itu. Saya percaya dan semua perlu mempercayainya. Saya mengambil pendekatan untuk membiarkan pihak berkenaan menjalankan tugas terlebih dahulu. Dia akan menjadi individu yang tepat untuk mengendalikan perkara ini."