Pemilik kelab hoki Hockademy Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, tidak akan mempersiakan tempoh 14 hari bagi mengemukakan rayuan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Ia selepas dia dikenakan penggantungan 18 bulan gara-gara melanggar klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (LHM).

"Kami akan membuat rayuan mengikut prosedur kerana kami perlu menunjukkan contoh yang baik. Kami telah bermula dari awal dan sehingga hari ini dengan cara yang baik," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya tidak mahu komen lebih tetapi niat kami adalah untuk kebaikan hoki dan menjalankan secara setelus, sejujur dan sebaik untuk semangat kesukanan.

"Hanya itu sahaja niat saya dan selebih daripada itu, jika ada orang atau pihak lain, saya tidak tahu niat mereka," katanya.

Megat Shahriman, bagaimanapun, berasakan hukuman yang dikenakan itu tidak wajar dan tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke peringkat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS), jika KHM tidak mahu memberikan kerjasama.

Peguamnya, Mohd Zhafri Aminurashid, mendakwa terdapat kejanggalan yang menimbulkan persoalan dalam dakwaan itu.

Antaranya melibatkan kenyataan media tuntutan pembayaran hadiah wang kemenangan LHM 2020, yang didedahkannya selepas KHM gagal membalas surat rasmi yang dihantar kepada badan induk itu pada 15 April dan 27 Mei lalu.

"Kami hanya menerima hukuman daripada KHM tanpa sebarang alasan penghakiman atau alasan keputusan.

"Dan agak sukar untuk pihak kami membuat rayuan kerana kami memerlukan alasan yang diberikan oleh jawatankuasa yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk selama 18 bulan.

"Sekiranya tiada perkara itu, bagi saya ia merupakan prosedur yang tidak dipatuhi," kata Mohd Zhafri.