Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menepati status selaku pasukan pilihan dengan muncul juara Liga Hoki Tertutup Terengganu selepas menewaskan Kelab Hoki Hulu Terengganu (HTHC) 5-2 pada minggu terakhir di Stadium Batu Buruk, petang tadi.

Dengan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk bergelar juara, perlawanan berlangsung sengit selepas HTHC membuka tirai jaringan menerusi Farid Faizal Ghazali seawal minit kelima.

Dua minit kemudian MBKT menyamakan kedudukan selepas Mohamad Khairul Anuar Zakaria menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Minit ke-11 menyaksikan HTHC sekali lagi di depan hasil jaringan padang Muhamad Firas Mohd Tarmizi sebelum MBKT menjadikan kedudukan 2-2, juga melalui Mohamad Khairul Anuar yang menyudahkan pukulan penalti strok tiga minit kemudian.

Bersambung suku kedua MBKT lebih bernafsu memburu gol dan menambah tiga lagi jaringan oleh Amir Hamzah (m-17) dan Muhamad Syafiq Izzudin (m-40, m-59) untuk memastikan kemenangan bergaya skuad kendalian Nordin Musa itu.

Kekalahan itu memaksa HTHC berpuas hati menamatkan kedudukan di tangga keempat dengan 13 mata.

Gelaran naib juara berpihak kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang mengumpul 16 mata manakala Hazuwani Semut Merah (HSHT-TNB) di tempat ketiga dengan 15 mata.

MBKT turut menguasai kategori wanita selepas unggul dengan rekod bersih empat kemenangan, manakala HTHC di kedudukan kedua dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin B, ketiga.

“Kejayaan hari ini adalah hasil komitmen dan kerja keras satu pasukan sejak saingan liga bermula, bulan lalu dan saya sangat berpuas hati.

“Memang kami menjangkakan saingan sengit sehingga empat pasukan terpaksa menanti hari terakhir untuk menentukan gelaran juara.

“Pemain-pemain muda yang dipertaruhkan berjaya mengawal perlawanan terutama selepas dua kali ketinggalan dan mereka menunjukkan kemahuan untuk menang,” kata pengurus pasukan MBKT, Arman Che Mohamad.