Pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuktikan kejaguhan mereka apabila mengungguli kategori lelaki dan wanita dalam Karnival Hoki Persatuan Hoki Terengganu (PHT), petang tadi.

Skuad wanita MBKT terlebih dahulu bergelar juara selepas menang 1-0 ke atas The Twelve hasil jaringan lewat perlawanan Junariah Mohd Yusof.

Perlawanan akhir kategori lelaki menyaksikan MBKT berdepan saingan sengit Veteran Terengganu dan menang 3-2 menerusi pukulan penalti selepas perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Edisi pertama karnival itu yang bermula semalam menyaksikan penyertaan sembilan pasukan lelaki dan lima pasukan wanita.

MBKT selaku juara membawa pulang wang tunai RM1,000 untuk setiap kategori manakala naib juara memenangi RM750.

Ketua jurulatih MBKT, Nordin Musa, menyambut baik langkah PHT menganjurkan karnival ini dan berharap dapat membantu kemeriahan sukan hoki di Terengganu.

“Karnival ini dapat mengembalikan kegemilangan kejohanan dan menghidupkan semangat bersukan di peringkat jabatan kerajaan.

“Ini juga peluang kepada bekas-bekas pemain untuk meneruskan minat dalam sukan hoki menerusi penglibatan sama ada sebagai pemain atau jurulatih.

“Langkah ini adalah tepat kerana negeri ini mempunyai pasukan sehebat Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan kejohanan dalam negeri juga adalah penting untuk kecemerlangan hoki di sini.

“Latihan singkat tidak menghalang kami untuk tampil dengan kejayaan ini dengan gabungan pemain berpengalaman dan pemain remaja.

“Kejuaraan ini memberi suntikan terbaik untuk MBKT memberi saingan pada Liga Hoki Tertutup Terengganu, bulan depan,” katanya.