MBKT, Semut Merah teruskan rentak kemenangan

Oleh Staff Writer 4 Disember 2016 11
MBKT, Semut Merah teruskan rentak kemenangan
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Pasukan Hoki Hazuwani Semut Merah (HSHT-TNB) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Tertutup Terengganu selepas menewaskan lawan masing-masing, semalam.

MBKT yang berhajat memberi tekanan kepada kepada tiga pasukan teratas iaitu Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Kelab Hoki Hulu Terengganu (HTHC) dan HSHT-TNB, berjaya mengutip tiga mata penuh susulan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Tengkawang.

Mohamad Khairul Anuar Zakaria memulakan kenduri gol MBKT menerusi jaringan padang pada minit kelima sebelum mereka menambah tiga lagi gol dalam tempoh empat minit menerusi Mohammad Syafiq Nordin (m-20), Muhammad Syafiq Izuddin (m-21) dan Wan Muhammad Rifqi (m-24).

Pasukan dari Kuala Berang, Tengkawang, merapatkan kedudukan 1-4 hasil jaringan padang Ahmad Alif Nazaruddin pada minit ke-35.

Namun, MBKT lebih unggul apabila menambah dua lagi gol menerusi jaringan padang Saiful Amri Idris (m-39) dan Mohd Jafri Mamat (m-53).

Pasukan Semut Merah pula berjaya mengetepikan cabaran sengit pasukan di tangga ketiga, HTHC 3-2.

Walaupun mendahului menerusi jaringan sudut penalti Tun Muhamad Alias seawal minit kelima, Semut Merah ketinggalan 1-2 hasil dua jaringan padang HTHC oleh Wan Shahrulnizam Wan Omar (m-7) dan Amirul Mirza Rozi (m-32)

Semut Merah mempamerkan kebangkitan untuk mencapai kemenangan selepas Tun Muhamad Alias menyamakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum Muhammad Faizal Muhammad Khalid menjaringkan gol kemenangan Semut Merah, tujuh minit sebelum tamat perlawanan.

Mereka akan membuat perhitungan menentang pencabar terdekat, MPK, pada Khamis dan MBKT (Jumaat) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen