Pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, berada dalam situasi terancam selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahu merombak barisan kejurulatihan ekoran gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas di tangan Great Britain.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, akan melakukan rombakan kejurulatihan jika berjaya mengekalkan jawatan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), 16 November ini.

Tindakan itu susulan persefahaman dengan Oltmans yang diwajibkan membawa Malaysia ke pentas Olimpik Tokyo ketika menandatangani kontrak, Oktober tahun lalu sambil perubahan pegawai lain dalam pasukan juga dijangka berlaku.

"Kami perlu meneliti sama ada Oltmans telah lakukan yang terbaik. Semestinya dia dan barisan kejurulatihan perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ke Olimpik kali ini. Kami belum fikir lagi tetapi akan menilai sama ada perlu kekalkannya atau tidak," kata Subahan.

Kekecewaan itu ditambah dengan kos membayar gaji Oltmans sekitar RM100,000 sebulan dan kontrak dua tahun pengendali itu hanya akan berakhir pada Oktober 2020.

Namun, Oltmans mempertahankan tindakan menggunakan beberapa taktikal berbeza dalam setiap perlawanan yang dikhuatiri mengelirukan pemain.

"Apa boleh saya katakan, kini perancangan sedang dijalankan, berbincang dengan pihak tertinggi untuk masa depan. Kini, selepas kempen mengecewakan ini, perlu lihat nanti apa yang mahu didengar," katanya.

"Malaysia memberi tentangan baik tetapi saya rasa kami membuatkan mereka berada dalam keadaan sukar," ujar pengendali skuad hoki Great Britain, Danny Kerry.

Sementara itu, kapten negara, Sukri Mutalib, meminta KHM tidak melakukan rombakan besar terhadap barisan pemain sedia ada walaupun gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sukri mendakwa persefahaman dalam pasukan kian baik, terutama dengan kemasukan ramai pemain muda.

Mereka juga faham dengan taktikal pengendali negara, Oltmans, yang agak rumit menerusi formasi 3-2-3-2 serta 3-4-2-1 atau serangan bertali arus untuk mencari gol.

"Perlu dikekalkan kerana seperti yang semua tahu, kami berada di ranking ke-11 dunia. Ia sangat bagus. Sukan Olimpik ada 12 pasukan, jadi kalau diikutkan, kami patut berada dalam senarai ke Tokyo. Semua pasukan yang berada dalam kelompok itu layak ke Olimpik," katanya.

Malaysia tewas 5-2 dalam aksi kedua play-off menerusi hatrik Alan Forsyth dan dua jaringan Sam Ward tatkala Malaysia meraih gol menerusi Fitri Saari pada minit ke-24 dan Razie Rahim (m-40).

Kekalahan itu bermakna kemarau sejak Olimpik Sydney 2000 berpanjangan, namun Malaysia masih berpeluang ke Tokyo jika salah satu pasukan yang sudah layak menarik diri.

"Ia sesuatu yang tidak saya fikirkan. Saya hanya mahu mencipta percubaan tepat kerana ia mungkin menghasilkan gol," kata Forsyth.