Masa depan penolong jurulatih skuad hoki negara, Lim Chiow Chuan, menjadi tanda tanya apabila Mohd Amin Rahim dicalonkan sebagai pengganti dalam mesyuarat lembaga eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Bukit Jalil hari ini.

Antara beberapa individu yang berada dalam barisan jurulatih hoki negara, hanya kontrak Chiow Chuan yang telah tamat.

KHM berpendapat sudah tiba masa untuk membawa masuk idea baru membantu ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, bagi membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan yang juga kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kedudukan jurulatih lain, termasuk pengendali skuad wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, terjamin selepas KHM berpuas hati dengan prestasi sepanjang musim ini.

"Pihak KHM telah memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Kejurulatihan untuk membuat keputusan yang terbaik bagi mendapatkan pengganti Chiow Chuan.

“Kami menyedari terdapat peningkatan dalam prestasi skuad negara. Tetapi kami tidak mahu sekadar dilihat sebagai pasukan kedua terbaik di Asia, kami mahu cuba menyasarkan kejayaan yang lebih tinggi,” kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Saya agak terkejut dengan keputusan ini. Pasukan telah mencapai objektif yang telah ditetapkan," kata Chiow Chuan.

Chiow Chuan dilantik penolong jurulatih negara pada 2015 dan sepanjang bersama skuad negara, Malaysia menjuarai pusingan kedua Liga Dunia 2015 dan 2017, meraih pingat
emas Sukan SEA serta muncul sebagai naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

Sementara itu, KHM bersedia menampung separuh kos jika skuad senior lelaki terpilih dalam Program Podium menjelang pengumuman 10 November ini.