Pemain tengah hoki negara, Muhammad Marhan Abdul Jalil, kecewa tidak dapat membantu kempen Malaysia dalam Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan bermula 20 Oktober ini ekoran kecederaan buku lali yang memaksanya berehat hingga Mac tahun depan.

Marhan ditimpa kecederaan itu ketika aksi separuh akhir Piala TNB 2016, bulan lalu.

Ligamen di pergelangan kakinya putus selain mengalami kecederaan buku lali.

Dia dinasihatkan supaya berehat selama enam bulan, sekali gus terlepas kempen Liga Hoki Australia, Trofi Juara-Juara Asia dan perlu mencipta keajaiban untuk menyertai pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan.

"Sepanjang saya bermain hoki, ini kecederaan paling teruk yang saya alami. Sedih tu kadang-kadang memang ada sebab tak dapat bersama pasukan.

"Selama ini, saya bersama pasukan untuk menghadapi kejohanan, sebab itu kali ini saya berasa agak janggal.

"Saya yakin dengan pemain-pemain yang sedia ada ketika ini sebab mereka mempunyai kemahiran dan komitmen yang tinggi.

"Cuma pemain muda kurang berpengalaman. Mungkin ketika menghadapi tekanan tinggi, sedikit-sebanyak akan menjejaskan mereka," katanya.

Astro Arena akan membawakan siaran langsung perlawanan hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 bermula pada 20 Oktober ini menerusi saluran 801 dan 802HD, dengan perlawanan sulung Malaysia bertemu Pakistan pada jam 6.30 petang.