Kuota pemain import dan kebangsaan bagi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) akan dikaji semula selepas Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Manjit Majeed Abdullah, berkata pihaknya menerima rungutan daripada kelab yang berdepan masalah dana.

Beberapa pasukan dilihat berpeluang cerah mendominasi empat trofi LHM dalam saingan yang akan bermula 11 Januari ini.

Sesebuah kelab perlu mendapatkan enam pemain import berkualiti, ditambah dengan dua tonggak kebangsaan serta dilengkapkan tiga jaguh Sukan Malaysia (Sukma).

Syaratnya ialah menyediakan dana yang cukup untuk memancing pemain terbabit.

Namun, timbul persoalan mengenai nasib pasukan kurang ternama seperti TNB Thunderbolt dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya akan cadangkan empat pemain antarabangsa dan wakil kebangsaan perlu dihadkan bagi menggalakkan pasukan lain mengambil bahagian dalam liga.

"Jika dihadkan, lebih banyak pasukan akan menyertai LHM," kata Manjit.

Seramai 20 pemain import mewarnai LHM 2019, dengan skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolt kekal dengan pendekatan menggunakan tenaga tempatan.

Sementara itu, KHM akan memeriksa lima venue LHM Khamis depan sebelum aksi pembuka tirai di antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi merebut Piala Sumbangsih, 11 Januari ini.