Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan Australia, Michael McCann, bagi membantu membentuk ketajaman barisan penyerang negara.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, sebagai salah satu usaha untuk memantapkan jentera serangan pasukannya.

Bekas penyerang Australia berusia 41 tahun itu akan menyertai The Malaysian Hockey Tigers bermula bulan depan, sekali gus membantu pemburuan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi pusingan kelayakan terakhir November depan.

Selepas menjalani waktu rehat sempena sambutan Aidilftri, skuad negara kembali menjalani latihan berbaki enam minggu menjelang siri jelajah persahabatan di Eropah.

"Dia akan menyertai kami pada minggu pertama bulan depan.

"Dia juga merupakan bekas jurulatih serangan Jerman dan akan bersama kami selama seminggu untuk bekerja dengan jentera serangan.

"Ia demi memastikan tahap penyudah kami sewaktu memperoleh peluang akan meningkat," kata Oltmans.

Sementara itu, penjaga gol negara, S. Kumar, dijangka kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk menjalani latihan penuh bermula minggu depan.

Sebelum ini, penjaga gol berkenaan terpaksa berehat panjang gara-gara kecederaan paha yang dialaminya.

"Kumar dijangka akan menyertai kami di Eropah.

"Kami mempunyai waktu selama lima minggu lagi dan harapan agar Kumar dapat kembali menjalani latihan penuh dalam minggu ini atau minggu depan.

"Dia sudah mula berlatih dan sudah pasti ia merupakan perkhabaran baik buat semua orang.

"Dia sudah mula berlatih, namun ia bukan dalam program penuh.

"Kami akan memulihkannya dengan cara yang bijak agar dia tidak kembali cedera," tambahnya.