MALAYSIA 5 CHINA 1

Skuad hoki negara kendalian Stephen Van Huizen hanya selangkah lagi untuk mencapai sasaran layak ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia apabila menewaskan China 5-1 untuk kemenangan kedua berturut-turut, malam ini.

Malaysia menepati ramalan di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, apabila bermula garang dengan melancarkan serangan awal menerusi gandingan Faizal Saari, Firhan Ashaari dan Mohd Haziq Shamsul.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Malaysia mendahului seawal minit keenam menerusi Haziq.

Pada suku kedua, Haziq sekali lagi menggunakan kepakaran lantunan semula untuk meledak gol kedua (m-20).

Skuad Malaysian Hockey Tigers makin selesa susulan gol ketiga yang diledakkan oleh pemain tengah, Fitri Saari, lapan minit sebelum rehat.

Pada suku kedua, China mempersembahkan corak agresif dan berjaya meledak gol pertama menerusi Zhong Jianwei (m-33).

Namun, berselang empat minit kemudian, Malaysia membalas dengan gol keempat, kali ini menerusi Shahril Saabah.

Pada minit ke-54, Malaysia terus menghukum China dengan gol kelima yang disumbangkan Firhan Ashaari.

China cuba bangkit, bagaimanapun gagal menembusi kubu negara yang diketuai Muhammad Razie Abd Rahim.

"Kami memerlukan tiga mata. Bagaimanapun, kami agak santai di penghujung permainan, itu tidak bagus untuk kami.

"Kami menampilkan permainan yang lebih baik semalam. Saya sedar China menurunkan barisan muda tapi kami tidak boleh memberikan peluang sebegitu.

"Ada beberapa aspek yang membimbangkan saya. Apapun, saya gembira dengan usaha yang diberikan pemain saya," kataVan Huizen.

Jurulatih China, Song Yi, pula bersikap positif terhadap keputusan yang dicapai pemain-pemainnya pada malam ini.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pemain walaupun tewas dalam perlawanan ini. Ada beberapa elemen positif kerana mereka masih lagi muda. Saya gembira dengan mereka," ujarnya.