Malaysian Hockey Tigers rentap ego juara bertahan

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Oktober 2016 1
Malaysian Hockey Tigers rentap ego juara bertahan
MALAYSIA 4 PAKISTAN 2

Faizal Saari muncul wira The Malaysian Hockey Tigers apabila meledak dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Pakistan 4-2 dalam aksi sulung Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, malam ini. 


Tumpuan terarah kepada tiga pemain yang diketuai Faizal yang sudah 14 bulan tidak menyarung jersi negara, namun tetap berupaya mengetuai jentera serangan. 

Dua lagi pemain, Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor, turut menjadi kunci utama kejayaan negara meraih tiga mata. 

Malaysia meledak gol pembukaan menerusi Firhan Ashaari pada minit ke-13. Pakistan menyamakan kedudukan dalam suku kedua menerusi Muhammad Aleem Bilal pada minit ke-18.

Aleem kemudian meletakkan Pakistan di depan (m-34), sebelum perlawanan dihentikan ekoran hujan lebat. 

Sebaik permainan bersambung, tuan rumah meningkatkan serangan dan dihadiahkan penalti stroke apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dijatuhkan dalam kawasan D. 

Faizal tidak berdepan masalah untuk menyamakan kedudukan 2-2. 

Gol itu membakar semangat juang pemain Malaysia dan Shahril Saabah menambah derita Pakistan dengan gol ketiga pada minit ke-41. 

Pakistan, selaku juara bertahan, cuba menggandakan asakan, sebaliknya anak buah Stephen Van Huizen lebih bijak mencari ruang untuk menembusi pertahanan lawan. 

Malaysia meraih gol keempat menerusi Faizal, beberapa saat sebelum siren penamat dibunyikan. 

Dalam pada itu, India memulakan kempen mereka dengan bergaya apabila membelasah Jepun 10-2, di mana enam gol daripadanya disumbangkan oleh Rupinder Pal Singh.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen