MALAYSIA 4 NEW ZEALAND 2

Skuad hoki negara menamatkan siri tiga perlawanan persahabatan menentang New Zealand dengan kemenangan 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.


Siri perlawanan yang dirancang sebagai persediaan ke Piala Dunia, minggu depan, menyaksikan Malaysia tewas kepada pasukan yang sama dalam kedua-dua perlawanan sebelum ini.

Gara-garanya, The Malaysian Hockey Tigers bertekad untuk bangkit meraih kemenangan dalam pertemuan terakhir itu.

Aspirasi tersebut dimulakan dengan langkah kanan menerusi jaringan pantas hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie Rahim pada minit kedua.

New Zealand, bagaimanapun, tidak mahu dibelenggu jaringan itu dengan menyamakan kedudukan menerusi Kane Russel, lapan minit kemudian.

Enggan kecewa berterusan, Malaysia kembali bangkit dalam suku kedua dan berhasil menjaringkan gol menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-26.

Begitupun, kekentalan pertahanan negara digagalkan George Muir yang kembali mengikat kedudukan buat New Zealand pada minit ke-46.

Kemahuan tinggi untuk memperoleh kemenangan menjadi pemangkin segera untuk Malaysia kembali di depan menerusi jaringan Faizal Saari yang menjadikan kedudukan 3-2 memihak skuad negara.

Ini disusuli Nik Aiman Nik Rozemi yang memutlakkan kemenangan menerusi ledakan gol keempat di penghujung perlawanan.