Skuad negara menduduki tempat ketiga buat kali keempat berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, apabila menewaskan Korea Selatan 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, malam ini.

Perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat itu berlangsung sengit dan permainan kedua-dua pasukan tidak terjejas walaupun hujan turun dari awal.

Pada minit ke-14, Haziq Samsul mencemaskan gawang Korea Selatan apabila melakukan percubaan baik sebelum ditampan oleh penjaga gol lawan.

Bagaimanapun, usaha Shahril Saabah merebahkan badan ketika membuat pukulan susulan membuahkan hasil untuk membuka jaringan perlawanan.

Tidak lama selepas suku kedua dimulakan, Korea Selatan menemui gol menerusi kaptennya, Jung Manjae, hasil pukulan sudut penalti.

Kebuntuan gol kemenangan berterusan walaupun perlawanan dilanjutkan hingga ke masa tambahan sebelum diheret ke penentuan penalti.

Firhan Ashari, Faizal Saari dan Nabil Noor melengkapkan tiga gol Malaysia, sementara Kang Moonkyu menghadiahkan satu jaringan sagu hati Korea Selatan.

Jung Manjae dan Kim Hyeongjin gagal melakukan pukulan tepat ketika berdepan penjaga gol negara, S. Kumar, sebelum Jeong Junwoo tidak sempat melakukan pukulan apabila dipersalahkan kerana bola yang dibawanya terkena kaki.

Dalam tiga kejohanan terdahulu, Malaysia turut menduduki tempat ketiga, iaitu di China, Qatar dan Jepun.

Dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pada tiga kejohanan itu, Malaysia menewaskan Jepun 1-0 pada 2011, menewaskan China 3-1 (2012) dan China 3-0 (2013), sebelum kejohanan tidak diadakan pada 2014 dan 2015.