Skuad hoki wanita negara menetapkan sasaran untuk menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara yang akan berlangsung di Dewan Jubli, Kuala Kangsar dari 31 Oktober hingga 3 November ini.

Malah, bagi pengurus pasukan, Lailin Abu Hassan, aksi dalam kejohanan lima pasukan itu akan menjadi kayu pengukur buat pembentukan skuad ke Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Menurutnya, skuad seramai 12 orang sudah dipilih dan mendapat asuhan dan bimbingan jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Katanya, skuad itu terdiri daripada pemain dalam dewan serta beberapa pemain hoki padang yang baru pulang daripada kelab masing-masing di Jerman.

Lailin berkata berdasarkan penyertaan dalam kejohanan kali pertama itu, peluang pasukan negara muncul juara adalah cerah.

Empat pasukan lagi ialah Uzbekistan, Nepal, Taiwan dan Filipina.

Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan cabaran Filipina yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA.

"Kita tidak tahu kemampuan sebenar Filipina tetapi sebagai tuan rumah temasya terbesar serantau itu, sudah tentu mereka mahu menjadi pesaing kuat," katanya.