Malaysia akan berdepan dengan lawan paling sukar, India, dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan esok dengan pemain tengah, Fitri Saari, mengakui prestasi skuad hoki negara belum cukup untuk menumbangkan pilihan utama itu.

"Kami sudah mempunyai keinginan, bagaimanapun mental kami perlu kuat serta kami perlu sematkan di dalam fikiran untuk menang," kata Fitri. "Jika kami ingin menewaskan India, kami perlu bekerja lapan kali ganda daripada biasa kerana mereka berada di ranking keenam dunia.

"Kami berada di ranking ke-14. Jarak kedudukan adalah lapan, jadi kami perlu bekerja lapan kali ganda lebih daripada biasa."

Fitri antara pemain paling menyinar di Kuantan terutama ketika meledak gol menarik untuk membantu The Malaysian Hockey Tigers mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan menewaskan Jepun 7-2.

Bagaimanapun, perancang utama itu sedar lawan kali ini bukan calang-calang pasukan, memandangkan India muncul wakil tunggal Asia layak ke Sukan Olimpik Rio 2016, selain reputasi sebagai pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014.

"Kini mereka mempunyai corak permainan yang lebih teratur. Kami sedar kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan seperti apa yang Fitri katakan.

"Bukan hanya untuk memastikan perancangan kami berjalan lancar, tetapi juga untuk menyekat mereka," kata jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen.

Rekod pertemuan berpihak India terutama selepas membelasah Malaysia 6-1 pada Piala Sultan Azlan Shah, April lalu.

"Bertemu pasukan Malaysia selalunya akan memberikan persaingan yang hebat," jurulatih India, Roelant Oltmans.

"Malaysia setakat ini beraksi dengan cemerlang, mereka memenangi tiga perlawanan dan berada di kedudukan teratas, dan perlawanan itu nanti akan menjadi perlawanan yang penting. Kami bersedia untuk perlawanan esok."