Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya, tidak mahu cepat mengaku kalah, sebaliknya masih positif dengan slot tipis ke Piala Dunia selagi peluang belum tertutup sepenuhnya.

Peluang terakhir ke pentas hoki Piala Dunia 2018 meletakkan syarat sukar buat skuad hoki wanita negara.

Mereka perlu muncul juara dalam Piala Asia yang bakal berlangsung dari 28 Oktober hingga 5 November depan, ketika skuad ini kehilangan dua tonggak utama, iaitu Fazilla Sylvester Silin dan Hasliza Md Ali.

Namun, bagi penjaga gol terbaik 2016, Farah, dia tidak mahu akur dengan situasi semasa, malah sasaran awal ke Piala Dunia masih dalam sasarannya walau ada pihak yang melabelkan ia sebagai misi mustahil.

"Kami yang akan bermain akan memberikan yang terbaik nanti. Situasi di sana memang susah tetapi kalau buat aksi terbaik dalam pertandingan itu, siapa sangka kita boleh meraih kemenangan dengan semangat kesukanan. Kami juga perlu fokus," kata Farah.

Dengan menganggap pentas Piala Dunia sebagai peluang terakhir, kapten pasukan, Siti Nur Amarina Ruhani, pula bersikap realistik walaupun hakikat semakin hampir untuk dia menerima impiannya beraksi dalam Piala Dunia tampak sukar.

"Kami perlu mengambil selangkah demi selangkah, pertama sekali untuk perlawanan dalam kumpulan. Kita tahu China pun kuat. Persaingan yang paling dekat adalah India bagi kami memastikan sekurang-kurangnya kedudukan kedua. Tekanan yang diletakkan jangan terlalu tinggi tetapi kami perlu fokus," kata Nur Amarina.