Malaysia intai hak penganjuran Piala Asia 2021

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Jun 2020 104
 Malaysia intai hak penganjuran Piala Asia 2021
The Malaysian Hockey Tigers bakal meraih sokongan padu ribuan peminat tempatan dalam misi layak ke Kejohanna Piala Dunia 2023.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mempertimbangkan untuk membida hak penganjuran Piala Asia tahun depan.

KHM akan menghantar bidaan rasmi itu sejurus mendapat kelulusan mesyuarat lembaga eksekutif 13 Jun ini.

Sebelum ini, Malaysia pernah menganjurkan kejohanan berkenaan sebanyak empat kali dengan kali terakhir di Ipoh, Perak, pada 2013.

Tugas tahun depan lebih mudah apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) akan mengubah format kelayakan dengan menyediakan tiga slot menerusi Piala Asia, justeru tuan rumah pasti mendapat kelebihan besar.




"Sukar atau tidak, kami perlu terima hakikat bahawa India akan layak ke final kerana mereka merupakan antara pasukan terhandal di dunia. 

"Ia mengukuhkan lagi harapan kami jika beraksi sebagai tuan rumah yang boleh memberi dorongan kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik lagi," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal kepada wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

Edisi terakhir kejohanan itu di Bangladesh menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

Buat masa ini, Persekutuan Hoki Asia (AHF) belum menerima sebarang bidaan kerana sedang meneliti tarikh paling sesuai untuk menganjurkan kejohanan empat tahun sekali itu.

"Ini bukan mudah. Ia melibatkan banyak perbincangan dan latar belakang.

"AHF boleh tawarkan peluang yang lebih baik dalam kelayakan ke Piala Dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AHF, Datuk Tayyab Ikram.

Untuk rekod, hampir setiap kali Malaysia menganjurkan kejohanan itu, skuad kebangsaan akan menamatkan saingan di tangga keempat. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen