Impian beraksi dalam liga luar negara menjadi idaman bagi setiap atlet negara.

Kelulusan buat penyerang Selangor II, Luqman Hakim Shamsudin, untuk berkelana ke Belgium meningkatkan keyakinan tonggak hoki wanita negara bahawa peluang menyertai Liga Hoki Eropah (EHL) masih terbuka.

Ketua pasukan, Nuraini Abd Rashid, berhasrat menyertai kelab England, East Grindstead, menjelang permulaan EHL April depan.

Nuraini dan penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya, sedang menunggu tarikh sesuai untuk berlepas ke London, England.

Mereka bakal mencatat sejarah sebagai pemain hoki pertama negara menyertai EHL, yang dianggap kejohanan kelab elit di Eropah.

"Luqman Hakim itu bagi saya memang (mendapat) peluang yang sangat bagus," kata Nuraini kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Daripada pihak saya sendiri, dengan rakan pasukan saya yang mendapat peluang ke sana, saya harap kami berdua diberikan perlepasan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menyambung semula saingan liga di England.

"Jika ada rezeki, seterusnya ke EHL pula.

"Kami masih berhubung melalui Whatsapp dan mereka bertanya sama ada saya berlatih atau tidak dan soalan seperti itu.

"Pengesahan mengenai perlawanan masih tergantung. Saya berharap peluang itu sama macam Luqman.

"Jika ada tawaran yang kami terima daripada East Grindstead, kami berharap diberikan perlepasan dan bantuan daripada KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pada saya, ia amat penting kerana ia adalah satu-satunya peluang untuk wakil hoki wanita Malaysia dapat bermain di liga yang sangat tinggi. Belum pernah lagi sesiapa (dari Malaysia) merasai liga tersebut," katanya.