Logan sahkan belum terima senarai skuad Pakistan

Oleh Staff Writer 14 Oktober 2016 0
 Logan sahkan belum terima senarai skuad Pakistan
Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), K. Logan Raj, mengesahkan belum menerima senarai pemain skuad Pakistan bagi saingan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan dari 20 hingga 30 Oktober ini.

Selain Pakistan, lima lagi pasukan yang terbabit dengan edisi keempat kejohanan itu ialah Malaysia, India, Korea Selatan, Jepun dan China. Kesemua pasukan tersebut sudah pun menghantar senarai pasukan masing-masing. 

Difahamkan, kelewatan skuad Pakistan untuk mendaftarkan pemain mereka adalah kerana masalah untuk mendapatkan visa.

"Kami percaya mereka akan menyertai kejohanan ini, namun sehingga kini, kami masih belum mendapat senarai penyertaan daripada pihak mereka. 

"Tetapi ini adalah Kejohanan Asia dan kami memberi mereka masa untuk menyediakan senarai pasukan," ujar Logan.

Bagaimanapun, Logan tetap optimis Pakistan akan beraksi dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia kerana media negara itu sudah pun melaporkan mengenai senarai pemain yang bakal ke Kuantan.

Pakistan masih mempunyai tempoh sebelum 20 Oktober ini untuk menghantar senarai penuh pasukan mereka.

"Setakat ini, kami mendapat maklumat bahawa Pakistan merupakan antara pasukan yang menunjukkan minat untuk menyertai kejohanan yang memerlukan pasukan dari negara Asia untuk beraksi. 

"Sekiranya mereka tidak menyertai kejohanan tersebut, mereka tidak akan berpeluang untuk beraksi dalam Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia. 

"Jadi, secara tidak langsung mereka perlu untuk sertai dan saya yakin mereka sudah pasti akan menyertainya. Kami akan mendapatkan maklumat daripada mereka dalam masa terdekat."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen