Liga Hoki Perak: SMKGR bukti wibawa

Oleh Azizan Hashim 17 November 2019 371
Liga Hoki Perak: SMKGR bukti wibawa
Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat (SMGR) muncul juara Liga Hoki Perak bagi kategori B-16 lelaki dan perempuan, hari ini.

Pasukan lelaki Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang bergelar Highlander itu mengatasi Anderson Panthers 2-1 sambil skuad perempuan menumpaskan rakan sesekolah, Highlander Girls, 5-0.

Dalam perlawanan akhir kategori lelaki, dua jaringan dalam suku kedua dan ketiga membolehkan SMGR bangkit daripada ketinggalan 0-1 setelah Ahmad Faizal Jamil meledak gol pertama selepas tiga minit.

Bagaimanapun, Mohamad Haikal Hakimi Mohd Azhan memadam defisit gol itu melalui jaringan padang pada minit ke-18 tetapi Muhammad Noor Mustakim Shariman menyumbat gol kemenangan Highlander untuk muncul juara, empat minit kemudian.

Sementara itu, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menduduki tempat ketiga selepas membenam Anderson Puma 2-0, dengan Muhammad Sufyan Mohd Nazdrie muncul wira dengan kedua-dua gol.

Dalam kategori perempuan, SMKGR mula menunjukkan taring dalam babak kedua untuk membaham Highlander Girls selepas mengalami kebuntuan sewaktu separuh pertama.

Anith Humaira Baharudin turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dengan menyumbang dua gol manakala Nurbalqis Hussain, Nur Suhana Batrisha Abdullah Sani dan Nur Adriana Mohd Ridwan masing-masing satu.

Sekolah Raja Perempuan (RPS) Bravo pula menduduki tempat ketiga selepas mengatasi pasukan PHDM-TNBJ-PPD Manjung 1-0.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen