Bekas kapten hoki negara, Azlan Misron, mencadangkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menunda tarikh Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan yang dikhuatiri menjejaskan persiapan skuad kebangsaan ke pusingan kedua Liga Dunia 2017 di Trinidad and Tobago.

KHM perlu belajar daripada apa yang berlaku pada Trofi Juara-Juara Asia, Kuantan, Pahang, tempoh hari.

Persiapan kurang rapi menyaksikan skuad kebangsaan kendalian Stephen Van Huizen hanya meraih tangga ketiga walaupun bermula cemerlang pada awal saingan.

Situasi sama dijangka berlaku pada tahun depan apabila LHM akan tamat dua minggu sebelum pusingan kedua Liga Dunia, yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

"Kepada pihak pengurusan KHM, saya berharap mereka dapat menukar balik jadual Liga Hoki Malaysia pada tahun depan. Mugkin pindahkan ke masa yang lebih sesuai, mungkin selepas Liga Dunia habis barulah kita mulakan dengan liga tempatan. Saya rasa itu lebih baik," katanya.

Azlan memegang rekod pemain paling banyak mewakili negara dengan 349 penampilan sebelum bersara tahun lalu.

Dalam pada itu, pemain tengah, Muhammad Marhan Abdul Jalil, belum pasti dapat beraksi di Trinidad and Tobago ekoran kecederaan buku lali.

Liga Hoki Malaysia 2017 bermula Januari hingga Mac 2017, sementara pusingan kedua Liga Dunia, 25 Mac hingga 2 April 2017.