Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) meletakkan sasaran tinggi untuk membolot kesemua tiga piala yang ditawarkan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Bagi musim 2017, KLHC dinobatkan sebagai juara LHM dengan mencipta rekod mengagumkan apabila mengharungi 14 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.

Mereka juga muncul naib juara Piala TNB dan menduduki tempat ketiga dalam Piala Tan Sri P. Alagendra.

KLHC, yang kini berwajah baru dengan dibimbing bekas pembantu jurulatih kebangsaan, Lim Chiow Chuan, optimis mereka mampu mencapai sasaran merangkul kesemua tiga piala musim ini.

"Kalau mahu diikutkan, sasaran adalah sama pada setiap tahun. Kami akan buru semua piala. Kami akan tumpukan perthatian satu demi satu.

"Setakat ini, kami menandatangani pemain import dari Korea Selatan, Australia dan Great Britain," kata pengurus KLHC, Ahmad Anuar Sham Kamar.

Kelab itu berjaya mengikat beberapa pemain import ternama seperti Jang Jong Hyun yang pernah beraksi untuk Pasukan Hoki Terengganu (THT) serta dua pemain kebangsaan Australia, Josh Pollard dan Matthew Willis.

Turut sama menyertai KLHC pada musim ini adalah bekas penjaga gol TNB, Andrian Andu Gilbert, dan penyerang remaja kebangsaan, Mohd Hafizudin Zaidi.

KLHC akan memulakan aksi 2018 menentang Kedah dalam Kejohanan Piala Tan Sri P. Alagendra pada 3 Januari depan.

"Di atas padang, kami akan bermain dengan penuh semangat. Kebanyakan pemain kami adalah pemain yang profesional. Walaupun mereka lambat digabungkan, saya pasti kami cepat menyesuaikan diri," kata kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.