Bekas kapten skuad hoki negara, S. Kuhan, mencadangkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) lebih serius menghantar pemain beraksi dalam liga Eropah untuk meningkatkan kematangan ketika menghadapi kejohanan penting seperti kelayakan Sukan Olimpik.

KHM perlu meniru pendekatan pasukan gergasi Eropah yang membenarkan pemain mereka beraksi di negara lain sebagai proses pembentukan.

Negara Asia seperti Jepun sudah mula mendapat hasil menerusi pendekatan itu apabila meraih pingat emas Sukan Asia 2018, sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

KHM pernah melaksanakan pendekatan itu beberapa tahun lalu, namun tidak secara menyeluruh.

"Kami pernah menggunakan pendekatan ini tetapi tidak terlalu menyeluruh dan ia harus dilakukan dengan lebih aktif selepas ini. Saingan di sana mampu membantu meningkatkan mutu permainan serta pengalaman," kata Kuhan.

Ketika ini, majoriti pemain wanita negara beraksi England, Itali dan Jerman hasil usaha pengendali, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Pendekatan itu dipersetujui pemain Great Britain.

"Anda dilayani sebagai seorang pemain hoki profesional dan tekanan untuk menampilkan permainan terbaik dalam setiap perlawanan. Ia rumit tetapi adalah proses pembelajaran yang perlu diharungi setiap pemain hoki," kata kapten Great Britain, Adam Dixon.