TLHT 1 PDRM BLUE WARRIORS 0

Fazilla Sylvester Silin muncul penyelamat maruah juara bertahan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), untuk mengatasi PDRM Blue Warriors 1-0 dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) di Kuala Terengganu petang tadi.


Pemain kebangsaan itu tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti pada minit terakhir permainan, sekali gus membawa TLHT memintas Blue Warriors di kedudukan kedua liga.

Penyudah kurang tepat Nursyakira Najwa Nazeri dari jarak dekat pada minit kelapan menandakan penguasaan awal TLHT yang juga juara berganda musim lalu.

Ledakan Fatin Naimah Zaki (m-12) kemudian menceriakan kem tuan rumah apabila menyambar hantaran Fazilla, hanya untuk jaringan itu dibatalkan pengadil.

Suku kedua bersambung dengan gerakan solo Fazilla gagal disudahkan dengan baik oleh Fatin Naimah pada minit ke-25 untuk membawa kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

TLHT meneruskan asakan dua minit selepas aksi bersambung, namun pukulan menarik Nuraslinda Said sedikit tinggi melepasi pintu gol Blue Warriors.

Pintu gol TLHT yang dikawal Guval Bakhavaddin cemas seketika pada minit ke-35, mujur pukulan leret pemain import pelawat, Hardeep Kaur, tersasar ke sebelah tepi.

Hasrat tuan rumah memecahkan kebuntuan tidak kesampaian selepas pengadil sekali lagi membatalkan jaringan Fatin Naimah pada minit ke-42.

Menuju beberapa saat sebelum wisel penamat, Fazilla menjadi wira TLHT dengan menyudahkan pukulan sudut penalti di penghujung aksi.


Editor: Nafis Abdullah