LHWM: Mutiara Impian jadi mangsa amukan PKS-Uniten

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 110
LHWM: Mutiara Impian jadi mangsa amukan PKS-Uniten
PKS-Uniten berpesta jaringan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil apabila membelasah pasukan tercorot, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, 8-1 dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) hari ini.

Barisan anak buah Lailin Abu Hassan itu turun untuk memberikan tekanan buat pendahulu liga, Hockademy KL.

Kesungguhan itu diterjemahkan menerusi rangkaian serangan yang diatur ke arah kubu lawan apabila mula meledak seawal minit kedua menerusi Nur Zafirah Aziz sebelum Nur Aisyah Yaakob menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi melebarkan jurang 2-0 untuk PKS-Uniten selesa mendahului.

Suku ketiga menyaksikan Nurmaizatul Hanim Syafii meledak jaringan pada minit ke-29.

Baki dua suku berikutnya memperlihatkan anak buah Lailin itu terus membedil gawang lawan tatkala lawan longlai dibolosi lima gol lagi.

Mutiara Impian sempat mencuri satu gol di saat-saat akhir menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Farah Hanim Sobri tetapi gagal menyelamatkan pasukannya daripada tewas 8-1.

"Kalau nak kata mudah, tak juga. Banyak perancangan dalam pasukan kami yang tidak menjadi bagi aksi hari ini.

"Jika dibandingkan dengan dua perlawanan sebelum ini, saya rasa aksi hari ini agak menurun walaupun lawan yang kecil. Mereka agak pantas," kata kapten PKS-Uniten, Raja Norsharina Raja Shahbuddin.

"Aksi ini tampak memihak kami kerana lawan menggunakan taktik bertahan, jadi kami banyak mencipta hantaran jauh," tambah Lailin.



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen