Jurulatih remaja negara berdepan cabaran sukar untuk membuat persiapan menjelang Piala Remaja Asia apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) yang akan bermula 24 Februari ini.

Saingan remaja itu akan bermula dua hari selepas tamat kempen Liga Hoki Malaysia (LHM).

Lantaran itu, Jawatankuasa Pertandingan KHM tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan kalendar tahun ini padat dengan kejohanan, termasuk Sukan Malaysia (Sukma), Julai depan, selain mahu mengelak pertembungan sambutan Ramadan.

Begitupun, ia menyukarkan jurulatih remaja lelaki dan wanita kebangsaan untuk menyenaraikan pemain bagi menyertai kem latihan kebangsaan.

"Masa tidak cukup kerana tahun ini Sukma akan diadakan selain beberapa kejohanan lain lagi.

"Sebab itulah kami cuba buat sebaik mungkin untuk kebaikan semua pihak," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh, di pejabat badan induk itu, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pengarah Pertandingan LHRM, G. Vinod Anil, pula menunggu minggu depan sebelum merangka pendekatan tertentu: "Keputusannya akan diketahui selepas Ahad depan.

"Selepas mengetahui pemilihan barisan pemain yang terlibat, barulah kami akan mulakannya dengan persiapan-persiapan tertentu."

Dalam masa sama, jurulatih SSTMI Thunderbolts, Wan Roslan Wan Abdul Rahman, tidak mahu ia menjadi satu bebanan kepadanya sambil menganggap anak-anak buahnya sudah bersedia.

"Saingan kali ini berdepan kekangan masa dan persiapan.

"Pasukan SSTMI sebenarnya sudah bersedia daripada segi persiapan kerana kebanyakan pemain ini sedang beraksi bersama TNB dan TNB Thunderbolts," katanya.

Perkembangan itu pasti menyukarkan jurulatih remaja wanita, Lailin Abu Hassan, untuk membuat persiapan menghadapi Piala Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun, April depan sementara Piala Remaja Asia Lelaki akan berlangsung di Dhaka, Bangladesh, dua bulan kemudian.

Kedua-dua kejohanan itu menyediakan tiket ke Piala Dunia Remaja 2021.



Editor: Shaiful Shamsudin