Kapten skuad hoki UniKL, Ashran Hamsani, tetap bersikap realistik untuk memburu satu trofi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula 10 Januari ini walaupun jurulatih dan pemain import mereka lewat tiba di Malaysia.

Pasukan itu berdepan tugas getir untuk memburu salah satu daripada tiga trofi LHM apabila lewat melakukan persiapan.

Ketua jurulatih, Arul Selvaraj, dan empat pemain import dijangka tiba beberapa hari sebelum tahun baru ini.

Begitu juga dengan pakar pukulan sudut penalti, Razie Abdul Rahim, dan penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang baru menamatkan Liga Oman.

"Setakat ini, kami menjalankan persiapan dengan baik.

"Walaupun jurulatih Arul tiada di sini, dia sentiasa menghantar jadual program, jadi kami hanya perlu mengikutinya.

"Pemain juga kebanyakannya senior, jadi kami hanya mengikuti jadual itu," katanya.

UniKL akan berdepan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam perebutan Piala Sumbangsih, 10 Januari ini.

Peluang dilihat seimbang buat kedua-dua pasukan dengan UniKL memegang status sebagai juara liga sementara THT pula merupakan juara Piala TNB.

"Kami akan bermain bermati-matian," kata penyerang UniKL, Hafiz Zainol.

"Ada pemain baru dan pemain lama, jadi pemain lama memiliki lebih pengalaman.

"Apa yang penting ialah komunikasi."