Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 selepas meraih kemenangan ke-12 berturut-turut dengan mengatasi Kedah/Nurinsafi HT 9-1 di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi sebentar tadi.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang ketua pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, seawal minit ketiga.

UniKL kemudian menggandakan pendahuluan apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menemui sentuhan penyudah pada minit ke-13 untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat tuan rumah.

Dua jaringan yang terhasil dalam tempoh dua minit selepas itu menerusi Muhammad Razie Abd Rahim serta Roel Bovendeert terus meletakkan UniKL di kedudukan selesa dengan mendahului 4-0.

Pelawat membalas menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ismail Abu, namun UniKL terus gah apabila Bovendeert menyumbang gol peribadi keduanya pada minit ke-29.

Dua lagi jaringan oleh Razie menerusi pukulan sudut penalti dalam tempoh dua minit terus meletakkan UniKL selesa di hadapan dalam suku ketiga.

Jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-46 memastikan kemenangan besar memihak tuan rumah serta mengesahkan kejuaraan liga untuk musim kedua berturut-turut.

“Saya gembira sasaran pertama kami tercapai iaitu pertahankan gelaran liga.Jika menang kesemua perlawanan, itu merupakan satu bonus buat kami dan sasaran seterusnya sudah pasti menjadi juara keseluruhan.

“Kami bermain tanpa tekanan hari ini walaupun ketiadaan Tim Deavin serta Najmi Farizal Jazlan dan sememangnya kami bersedia untuk meghadapi Nurinsafi,” jelas pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Perlawanan tumpuan sudah pasti pertemuan di antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

TNB yang memerlukan kemenangan tidak mampu mengatasi tuan rumah apabila terpaksa tunduk dengan kekalahan 0-1 kepada THT.

Jaringan tunggal Jang Jong-hyun pada minit ke-21 menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan untuk THT mengutip mata penuh dan merapatkan jurang dengan TNB dalam kedudukan liga.

“Perlawanan ini ibarat aksi kalah mati buat kami, kami perlukan tiga mata penuh andai ingin mengekalkan peluang untuk memintas TNB bagi kedudukan kedua liga.

“Jaringan Jong Hyun memberi kelebihan buat kami bermain secara taktikal, sekali gus mengecewakan lawan,” ujar jurulatih THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Maybank sekali lagi terpaksa mempamerkan kebangkitan apabila mengikat TNB Thunderbolts 2-2 dalam pertemuan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Slot ke saingan Piala TNB 2020 menjadi tumpuan utama Maybank yang ketika ini menduduki tangga keempat liga dan mengharapkan tiga mata penuh untuk terus mengukuhkan kedudukan.

Kebuntuan jaringan terlerai pada minit ke-26 apabila Muhammad Muhibuddin Moharam menyempurnakan peluang daripada jaringan padang bagi meletakkan Thunderbolts di hadapan.

Thunderbolts kemudian menambah satu lagi jaringan, sekali lagi menerusi Muhibuddin yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Amirullah Zainol menjaringkan gol pada minit ke-38 bagi membantu Maybank untuk kembali bangkit sebelum Muhammad Syamim Naim Abd Hamid menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-53 untuk keputusan akhir 2-2.

Menurut jurulatih Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, “Pemain kami masih kurang pengalaman dan itu terserlah apabila memberikan ruang buat Maybank mempamerkan kebangkitan. Ini satu pengajaran yang baik buat mereka walaupun memberikan aksi yang baik hari ini.”

Di sebalik keputusan itu, Maybank mengesahkan tempat ke saingan Piala TNB 2020 susulan keputusan seri 2-2 yang dicatat oleh UiTM dalam pertemuan menentang Hockademy KL.

Jaringan padang oleh Danial Asyraf Abdul memberikan pendahuluan buat UiTM pada minit ketiga sebelum Miyu Tanitmitsu menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-26 untuk meletakkan UiTM selesa mendahului.

Bagaimanapun Hockademy membalas menerusi dua gol dalam tempoh seminit menerusi jaringan padang Arif Sabron serta Ali Rizwan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.




Editor: Ammar Hakim