UniKL terpaksa membayar harga mahal untuk mendapatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas penyerang senior, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, cedera di muka ketika menewaskan pendatang baru, Hockademy KL, 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Juara bertahan itu turun dengan semangat tinggi selepas membenam Terengganu Hockey Team (THT) dalam perebutan Piala Sumbangsih, Jumaat lalu.

Namun, gol pembukaan hanya tiba dalam suku kedua menerusi pakar pukulan sudut penalti, Razie Abdul Rahim, pada minit ke-15.

Berselang tiga minit, giliran pemain import, Roel Bovendeert, menghasilkan gol padang untuk melebarkan kelebihan itu.

Perlawanan seterusnya dicemari dengan insiden kekasaran sehingga tonggak tengah UniKL, Tengku Ahmad Tajuddin, terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius di mulut gara-gara terkena bola.

Biarpun kehilangan pemain berpengaruh itu, UniKL tetap meneruskan asakan untuk Irwan Firdaus Tajuddin menambah satu lagi jaringan.

Hockademy KL pula sekadar mendapat gol sagu hati menerusi Razalee Yahya dalam suku terakhir.

"Tugas pertama ialah mendapatkan tiga mata dan ia telah selesai," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

"Yang seterusnya ialah kami agak terikut-ikut dengan rentak lawan, jadi kami sepatutnya kekal dengan rentak kami.

"Itulah yang perlu kami perbaiki tetapi saya tidak risau kerana ia pasti akan menjadi lebih baik dalam perlawanan seterusnya," katanya.



Editor: Muzaffar Musa