Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa menghantar pasukan tempang untuk menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM), bulan depan.

Ia susulan status jurulatih, Meor Mohd Shahril Saarani, dan enam pemain yang sukar menyertai saingan secara kem kuarantin bagi mengekang penularan Covid-19.

UiTM sedang menjalankan rundingan dengan jurulatih dan enam pemain menjelang tarikh tutup pendaftaran pemain, Ahad ini.

Cabaran ketika ini ialah mereka mempunyai komitmen pekerjaan ketika Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak benarkan mana-mana pemain atau jurulatih meninggalkan kem kuarantin sebaik liga bermula, 11 Mac depan.

Ia meletakkan UiTM dalam situasi tertekan untuk menghantar pasukan terbaik.

"Jurulatih Meor merupakan seorang peniaga barangan runcit dan sekiranya dia terpaksa menutup kedai akan mendatangkan masalah sementara barisan pemain hoki yang beraksi turut bekerja bersama beliau. Kami akan berusaha untuk mendapatkan jurulatih untuk bersama pasukan selama sebulan," kata Pengurus pasukan UiTM.

"Semestinya UiTM kini berdepan tugas yang sukar bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan barisan pemain yang tidak dapat bersama pasukan bagi saingan LHM kali ini. Kami telah menjalani latihan sejak Disember lalu. Sekiranya kami terpaksa meneruskan saingan tanpa enam pemain yang tidak dapat bersama pasukan, kami bakal menempuhi saingan yang agak sukar kali ini."