LHM: TNB tunda sesi latihan kerana kontak rapat THT 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Februari 2021 51
LHM: TNB tunda sesi latihan kerana kontak rapat THT 
Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada Terengganu Hockey Team (THT) mengenai perkahabaran tiga pemainnya yang didapati positif.

Tarikh tutup pendaftaran pemain bagi Liga Hoki Malaysia (LHM) pula adalah 1 Mac depan, justeru mencetuskan kebimbangan mengenai status penyertaan tiga pemain itu.

Begitupun, Datuk Seri Anil Jeet Singh yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan menjelaskan sebarang keputusan akan ditentukan selepas mesyuarat pengurus pasukan pada 3 Mac depan.

"Saya masih tunggu laporan rasmi untuk mengumumkannya secara rasmi. 

"Saya memohon semua pengurus dan pemain agar mematuhi SOP (prosedur operasi standard)  untuk bermain dalam liga ini.

"Saya sudah menghantar e-mel daripada semua pasukan berkenaan mengenai ujian saringan mereka dan setakat ini semuanya dalam keadaan baik, belum ada pasukan yang menarik diri," katanya.

 

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengerahkan pemain yang dikatakan tinggal serumah dan mempunyai kontak rapat dengan pemain THT yang dijangkiti pandemik berkenaan agar segera membuat ujian saringan serta menjalani kuarantin secara kendiri.

TNB terpaksa menunda sesi latihan pertama mereka yang sepatutnya bermula Isnin depan.

"Kami mahu pastikan semuanya bebas, baru kami akan buat saringan ujian berpasukan.

"Kami akan membuat SOP yang dikehendaki KHM, " kata Pengarah Pembangunan Hoki TNB, Nor Saiful Zaini, hari ini. 

Sementara itu, pasukan pelapis, TNB Thunderbolts, pula dalam dilema biarpun sudah mendapat lampu hijau oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membariskan pemain yang terdiri pelajar dalam pasukan mereka.

Mereka bukan sahaja hilang tiga pemain iaitu Danish Aiman, Addy Jazmi dan Harris Iskandar yang perlu menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), namun dalam masa yang sama tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi melakukan persediaan berbanding pasukan lain dalam LHM.

Apatah lagi, TNB Thunderbolts, juga tidak akan membuat sebarang perlawanan persahabatan pra-musim bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen