Jurulatih skuad Tenaga Nasional berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menyambut baik cadangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperkenalkan sistem tiket Liga Hoki Malaysia (LHM), namun meminta badan induk itu mencari jalan menarik lebih ramai penonton ke stadium terlebih dahulu.

Pasukan bertanding menganggap sistem tiket mampu memperkemaskan perancangan KHM terhadap LHM.

Namun, apa yang penting ketika ini ialah mempromosikan LHM untuk menarik lebih ramai penonton ke stadium sebelum memperkenalkan sistem tiket.

"Kita harus mencari jalan meningkatkan lagi jumlah penonton untuk hadir menyaksikan perlawanan hoki terlebih dahulu sebelum memperkenalkan sistem tiket," kata Nor Saiful.

TNB antara lapan pasukan yang menyertai LHM 2020 bermula Jumaat ini.

Mereka dibarisi lapan pemain skuad remaja negara dengan mencatatkan dua menang dan dua seri dalam aksi persahabatan sebelum memulakan cabaran menentang TNB Thunderbolt.

"Jika rezeki memihak TNB, kami berharap untuk menjulang gelaran lagi musim ini," kata pertahanan TNB, Syarman Mat Tee.

"Persiapan rapi sebelum perlawanan adalah kunci utama untuk mendapatkan kemenangan sementara menilai semula persembahan kami selepas tamat setiap perlawanan," kata penyerang TNB, Muhajir Abdu Rauf.


Editor: Ammar Hakim