UniKL sudah menghantar permohonan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membolehkan penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, beraksi dalam Liga Hoki Malaysia ( LHM) dengan menggunakan pelindung muka yang direka khas oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Penyerang kebangsaan itu akan menyertai sesi latihan UniKL dalam masa terdekat, seminggu selepas menjalani pembedahan patah rahang.

Pemain berpengalaman itu juga, yang sepatutnya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan, sudah pun menyuarakan hasrat untuk beraksi dalam LHM yang menghampiri pertengahan saingan, namun terlebih dahulu perlu mendapatkan lampu hijau daripada Jawatankuasa Pertandingan KHM.

"Ahli fisioterapi kami akan berjumpa dengan seorang profesor di ISN untuk membuat satu pelindung muka untuknya.

"Kami sudah menghantar surat kepada KHM untuk membenarkannya beraksi.

"Selepas pelindung muka itu siap, ia akan diajukan kepada jawatankuasa teknikal (KHM).

"Setakat ini , saya rasa ia tidak akan menjadi masalah," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, hari ini.

Pelindung muka sudah digunakan secara meluas di luar negara tetapi bagi LHM, ini kali pertama pemain akan menggunakannya.

Tengku Ahmad Tajuddin mengalami kecederaan itu selepas terkena bola pukulan pemain Hockademy KL dua minggu lalu.

"Dia kelihatan kuat.

"Dia seorang yang positif, mempamerkan karakter dan sikap yang kuat.

"Kalau kami dapat gunakan (khidmatnya) kembali dalam tempoh dua atau tiga minggu, kami pasti sangat gembira."



Editor: Shaiful Shamsudin