Pendatang baru Liga Hoki Malaysia (LHM), Hockademy KL, tidak mahu berasa kerdil biarpun tidak mempunyai jenama pemain yang hebat sementara UniKL pula sedar setiap pasukan pasti ingin menewaskan sang juara.

Biarpun masih hijau dalam kancah LHM, Hockademy KL, yang dimiliki Presiden Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, itu bertekad membuktikan kemampuan sekalipun mempertaruhkan pemain kurang ternama.

Pemain paling veteran dalam skuad itu, M Siva, seharusnya berterima kasih kepada Megat Shahriman di atas kepercayaan yang diberikan kerana menganggap ia peluang yang datang bergolek.

"Sebelum diberi peluang beraksi dalam LHM musim 2020, saya hanya bermain dalam kancah liga sosial. Megat Shahriman memberi kami peluang kerana percaya kami berbakat.

"Dia memberi kami semangat," kata pemain berusia 39 tahun itu dalam temu bual Nadi@1 hari ini.

Sehubungan itu, peluang yang sudah terbentang membuatkan dia dan rakan sepasukan menaruh harapan tinggi untuk melihat barisan kendalian S. Selvaraju berkenaan mampu bersaing dengan kelab-kelab ternama.

"Hockademy KL dibarisi pemain baru dan berpengalaman. Kami tidaklah handal tetapi kami mahu tunjukkan kebolehan.

"Selepas sebulan lebih menjalani persiapan, kami juga menyasarkan satu kejuaraan."

Dalam masa sama, selepas mengungguli saingan perdana 2019, reputasi berkenaan meletakkan UniKL sebagai tumpuan untuk ditundukkan dan hakikat itu diakui penyerangnya, Faridzul Afiq Mohd.

Bagaimanapun, kerjasama tinggi dalam kalangan rakan sepasukan selain semangat harmoni menjadi tonik untuk mereka mengukuhkan nama dalam LHM.

"Kami mahu kekalkan kejayaan," katanya.

"Banyak pasukan ingin mengalahkan kami, jadi kami perlu tingkatkan prestasi dan persembahan.

"Memang sukar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan utama dan kami perlu membuktikan keupayaan dalam perlawanan sebenar.

"Saya berharap setidak-tidaknya dapat menghasilkan satu gol dalam setiap perlawanan," kata Faridzul, yang memasuki musim kelimanya bersama pasukan itu dan bercita-cita untuk mendapat panggilan kebangsaan.

Hockademy KL dan UniKL masing-masing akan membuka tirai kempen LHM 2020, Jumaat depan dengan bertemu Maybank dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).



Editor: Shaiful Shamsudin