Pemain Terengganu Hockey Team (THT), Fitri Saari, percaya kehadiran Dhaarma Raj Abdullah selaku jurulatih baru THT mampu menguatkan lagi pasukan dengan dua piala ditetapkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) buat jurulatih itu.

THT mendapat sentuhan Dhaarma Raj menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) bulan depan sejurus kontraknya bersama skuad kebangsaan berakhir 31 Disember ini.

Bekas jurulatih skuad hoki wanita negara itu ditawarkan tempat bagi menggantikan I. Vickneswaran yang tidak dilanjutkan khidmat bersama THT.

Atas faktor keserasian, kehadiran bekas jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berkenaan dianggap kelebihan buat skuad Pantai Timur itu untuk menampilkan aksi lebih ampuh musim depan.

"Saya, Faizal Saari dan Muhammad Hafizuddin Othman mungkin sudah selesa dengannya.

"Kami mengharapkan pengalamannya dalam kancah liga ini," kata Fitri yang juga kapten THT.

Sementara itu, Setiausaha THT, Rashidi Hashim, berharap dapat mengekalkan Piala Sumbangsih dan merebut kembali piala liga.

"Dengan kepakarannya ketika membimbing pasukan Malaysia, kami boleh capai (sasaran)."

THT akan membuka saingan musim 2020 dengan menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk merebut trofi Piala Sumbangsih, 10 Januari ini.

Ia ibarat perlawanan ulangan musim lalu yang menyaksikan juara bertahan itu menewaskan UniKL 3-1 dalam penentuan shoot-out.

"Dia seorang pengurus berpengalaman kerana pernah membawa banyak piala kepada KLHC.

"Kami perlu berhati-hati dengannya berikutan pengalaman luasnya dalam saingan liga," kata penolong jurulatih UniKL, Saiful Azar Afandi.