Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, tetap optimis tonggak pasukannya, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, akan kembali memperkuatkan pasukannya sambil berpuas hati dengan kredibiliti skuad kendaliannya itu dalam mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Semalam, pasukan kendaliannya itu mengekalkan rekod bersih apabila menumbangkan TNB Thunderbolts 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil walaupun tanpa penyerang utama, Tengku Ahmad Tajuddin, yang cedera patah rahang.

Arul, bagaimanapun, yakin tonggak utamanya itu akan pulih dan kembali mengharungi baki saingan musim ini walaupun berpuas hati dengan kemampuan pemain sedia ada.

"Setakat ini, saya fikir (ia memerlukan) empat hingga enam minggu.

"Dia separuh (badannya) mesin.

"Kalau manusia, dia mungkin sudah berehat sehingga penghujung musim tetapi dia seperti mesin.

"Dia cakap kepada saya yang dia hendak beraksi (semula).

"Jadi, harap-harap begitu.

"Kami gembira untuk mendapat sentuhannya semula," katanya.

Sementara itu, jurulatih Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, memuji persembahan anak buahnya biarpun masih belum meraih sebarang mata musim ini.

"Perlu ingat juga, pasukan ini adalah pasukan pembangunan.

"Kami tidak boleh mengharapkan lebih daripada mereka.

"Mereka sudah bagi (persembahan terbaik), saya rasa ia sudah cukup baik.

"Apa yang kami inginkan ialah pendedahan.

"Ia supaya mereka dapat menonjol dan dapat bersaing di peringkat senior," katanya.



Editor: Muzaffar Musa