Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap kelayakan beraksi dalam Sukan Komanwel sebagai berita baik untuk beliau membuat persiapan pasukannya pada tahap terbaik menjelang saingan Sukan Asia, Ogos tahun depan.

Ia berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan mengambil kira ranking terakhir pada bulan November 2017.

Secara keseluruhan, Malaysia menduduki tangga kelapan berdasarkan ranking dunia membabitkan negara Komanwel, sekaligus termasuk dalam 10 negara yang layak bertanding dalam Sukan Komanwel.

“Pasukan wanita ini kurang menerima pendedahan beraksi dalam kejohanan besar. Jika dapat beraksi dalam Sukan Komanwel, ia akan menjadi satu pengalaman terbaik untuk mereka beraksi dalam kejohanan utama,” kata Dhaarma.

Kedudukan Malaysia yang layak secara merit ke Sukan Komanwel sekurang-kurangnya menjadi penawar buat skuad kendalian Dhaarma, selepas hasrat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama gagal.

Malaysia terlepas dua peluang terbaik ke Piala Dunia apabila kecewa dalam Liga Hoki Dunia Wanita di Belgium selain sekadar menduduki tangga kelima dalam saingan hoki Piala Asia Wanita baru-baru ini.