Langkah Arul ubah hoki negara: Disiplin tinggi elemen terap mentaliti mahu menang 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Oktober 2020 203
 Langkah Arul ubah hoki negara: Disiplin tinggi elemen terap mentaliti mahu menang 
Ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj, memilih tujuh pemain yang bakal buat penampilan sulung dengan misi utamanya ialah mengubah gaya hidup The Malaysian Hockey Tigers menjadi atlet profesional.

Enam pemain pula diberi peluang kedua selepas digugurkan bekas pengendali negara, Roelant Oltmans, Februari lalu.

 

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mengumumkan senarai 38 pemain yang dipilih untuk menjalani latihan pusat bermula 5 Oktober 2020

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, September 30, 2020


Mereka pernah menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dengan menyertai Piala Dunia 2014 dan 2018 sebelum berjaya memikat Arul menerusi pentas Piala Tun Abdul Razak 2020.

Beberapa kriteria ditetapkan untuk memenangi tempat dalam skuad negara, antaranya tidak membenarkan aktiviti menghabiskan masa di kedai makan sehingga lewat malam selain perkara asas seperti merokok. 

"Buat masa ini hajat utama saya ialah untuk mengubah mentaliti mereka. Jika ia dapat diubah maka keputusan memberangsangkan akan menyusul. 

"Kalau sebelum ini mereka akan turun dengan matlamat untuk beraksi tetapi selepas ini, saya mahu mereka turun dengan misi kemenangan," katanya dalam majlis pengumuman pemain kebangsaan yang pertama di Bukit Jalil sejak dilantik bulan lalu. 

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengumumkan sasaran sesuai buat skuad kebangsaan menjelang kejohanan pertama, Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, Mac tahun depan.

Ini kerana setiap kejohanan bermula tahun depan menawarkan mata ranking dunia.

"Mungkin masih terlalu awal lagi untuk KHM meletakkan sebarang sasaran.

"Mungkin menjelang kejohanan, selepas membuat kajian terhadap pasukan lawan, (barulah) kami akan mendapat gambaran yang lebih tepat untuk meletakkan sasaran. 

"Kejohanan di Bangladesh itu belum tentu diadakan, perlawanan persahabatan juga akan ditetapkan kemudian. Kami akan mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. 

Turut mencuri tumpuan pemilihan tujuh muka baru seperti penyerang Kuala Lumpur, Palvindeer Singh. 

"Saya perlu lebih berdisiplin, jaga pemakanan, tidak lagi boleh lepak 'kedai mamak' seperti kebiasaannya. 

"Saya memang tidak merokok dan minum (alkohol) jadi saya memang perlu banyak berkorban," katanya. 



 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen