Bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Lailin Abu Hassan, tidak menafikan cabaran baru yang akan dihadapinya selepas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad remaja wanita negara semalam.

Pengendali itu antara barisan kejurulatihan yang tidak dilanjutkan kontrak bulan lalu.

Mengakui mempunyai perancangan lain di peringkat kelab, Lailin, bagaimanapun, mendapat tawaran itu selepas Nor Saiful Zaini Nasiruddin dikhabarkan tidak berminat untuk mengisi jawatan berkenaan.

Namun, dia tidak menafikan tugas mengendalikan skuad remaja wanita itu merupakan cabaran berbeza yang perlu dilaluinya.

"Ia merupakan satu cabaran untuk saya mencari bakat-bakat baru.

"Sebelum ini, saya banyak melakukan pembangunan (pemain) di setiap negeri dan saya dapat lihat ada bakat-bakat yang perlu diketengahkan.

"Saya berharap mereka dapat fokus untuk mencapai tahap terbaik dan mungkin sebagai pemain kebangsaan satu hari nanti," katanya.

Walaupun sukar, bekas pemain kebangsaan itu yakin skuad kendaliannya itu mampu memenuhi hasrat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam Kejohanan Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun, April depan.

"Bagi yang bakal beraksi di Kakamigahara, saya harap pemain yang bersama skuad senior dapat membantu pemain lain untuk mencabar empat pasukan teratas.

"Kami akan menyasarkan separuh akhir terlebih dahulu kerana tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia Remaja 2021," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa