Kumar terkejut positif sibutramine

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2017 2610
Kumar terkejut positif sibutramine
"Saya sangat terkejut," demikian reaksi S. Kumar yang tidak menyangka dia didapati positif ujian doping jenis sibutramine ketika Piala Asia di Dhaka, Banglasesh, Oktober lalu.

Penjaga gol skuad hoki kebangsaan itu menegaskan ia perlu diselesaikan segera sambil menolak ujian sampel B kerana usaha itu hanya akan memakan masa.

Jelas, pilihan Kumar masih menjurus ke arah usaha untuk terus menabur bakti buat skuad negara walaupun terpaksa menerima keputusan yang tidak menyebelahinya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, hari ini mengumumkan pemain itu berdepan penggantungan dua tahun selepas menerima surat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Selasa lalu.

Memohon untuk dibicarakan adalah keputusan paling tepat ketika Kumar sendiri berani tampil membela diri dengan mengharapkan hukuman dua tahun mampu dikurangkan.

"Keputusan bukan di sini tetapi di FIH. Kalau saya lambat, lebih banyak masa digunakan. Jadi, lebih baik saya pergi dan menceritakan tentang kerjaya, berapa lama saya sudah bermain, apa yang saya buat dan saya tidak ambil apa-apa. 

"Jadi, ia akan lebih cepat dapat keputusan dan kembali bersama skuad kebangsaan secepat mungkin," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pemain yang pernah diiktiraf sebagai pemain terbaik Asia itu mengakui perkembangan terbaru itu mencalarkan reputasi skuad hoki negara yang melewati prestasi cemerlang akhir-akhir ini.

"Saya tahu apa yang saya lalui bersama pasukan negara selama 20 tahun ini. Apa pun terjadi, saya akan teruskan latihan sebab selama ini pun kalau saya diberikan cuti, saya pandai jaga diri saya. 

"Kejayaan ini juga disebabkan saya pandai jaga diri saya. Saya terfikir kenapa ia terjadi kepada saya walaupun saya cukup berdisiplin. Ia sangat mengejutkan," ujarnya.

Hasrat untuk membantu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik 2020 dengan menjuarai Sukan Asia 2018 tetap menjadi keutamaan Kumar.

Sementara itu, jurulatih pasukan hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak mahu terlalu mengharapkan keputusan pengurangan hukuman memihak kepada Kumar, sebaliknya memiliki perancangan lain
sebagai pelan kedua.

Khidmat Hairi Abdul Rahman dan Hafizuddin Othman berada dalam pertimbangan Van Huizen, terutama untuk persediaan terdekat, iaitu Sukan Komenwel Gold Coast pada April depan.

"Kami akan memastikan mereka mendapatkan pendedahan secukupnya agar mereka bersedia. Mereka akan kembali ke kelab dan berharap mereka bermain baik bersama kelab.

"Kami akan berkumpul semula selepas saingan liga dan kami akan mengambil dua pemain terbaik daripada Piala Sultan Azlan Shah. Sekiranya Kumar tiada, kami harus membawa mereka ke Sukan Komanwel. Ia akan memberikan peluang untuk membuktikan siapa mereka," ujar Van Huizen.

Pemain berusia 38 tahun dari Negeri Sembilan itu juga tidak menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula hari ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen