Penjaga gol hoki negara, S Kumar, kecewa gagal membantu Malaysia meraih mata biarpun beraksi cemerlang ketika tewas 2-1 kepada India dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia, malam tadi.

Kumar antara pemain yang paling mencuri tumpuan ketika Malaysia tewas buat kali pertama di Stadium Hoki Wisma Belia. Penjaga gol gol berusia 37 tahun itu menafikan banyak serangan berbahaya India yang diketuai penyerang, Ramandeep Singh.

Begitu juga dengan pakar pukulan sudut penalti, Rupinder Pal Singh.

Namun, pemain kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu terpaksa akur apabila Rupinder dua kali menewaskannya menerusi pukulan sudut penalti.

"Sudah tentu saya mengharapkan persembahan seperti ini dalam perlawanan-perlawanan akan datang, terutamanya untuk aksi separuh akhir nanti.

"Jadi, saya perlu fokus dari sekarang kerana kami ada satu lagi perlawanan penting menentang Korea supaya persembahan saya konsisten," kata Kumar.

Rupinder bukan sahaja muncul wira India, malah mengukuhkan reputasinya sebagai pendahulu penjaring kejohanan dengan 10 gol.

Namun, pertahanan itu mengakui bukan mudah menewaskan Kumar dengan berkata, "Kumar bermain dengan sangat baik, begitu juga pertahanan Malaysia.

"Dengan pertahanan sebegitu, ia agak menyukarkan saya. Secara keseluruhannya, mereka bermain dengan begitu baik."

Kemenangan itu bermakna India mengesahkan status sebagai juara liga, sementara Malaysia perlu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri ketika menentang Korea Selatan, malam ini, untuk muncul selaku naib juara menuju separuh akhir.